Seni mempertahankan
diri merupakan warisan yang dipusakai sejak zaman-berzaman. Tae kwan do, taici,
silambam dan kung fu merupakan antara seni mempertahankan diri yang popular di
dunia. Peradaban Melayu pula mengamalkan seni bela diri seperti silat kerana
silat dianggap sebagai warisan yang harus dipertahankan sehingga ke hari ini.
Silat dalam konteks rumpun Melayu mempunyai susur galurnya tersendiri. Silat Cekak, Silat Kuningan, Silat Gayung dan Silat Nasrul Haq merupakan antara silat yang terkenal di Malaysia. Setiap jenis silat itu mempunyai pecahannya tersendiri. Silat Gayung dapat dipecahkan kepada Silat Gayung Cekak Sendeng, Silat Gayung Garuda, Silat Gayung Harimau, Silat Gayung Laksamana, Silat Gayung Pancasila dan sebagainya. Di Malaysia, wujudnya pertubuhan persatuan silat yang bertujuan memelihara dan mengembangkan seni warisan budaya Melayu, memberi kefahaman yang jitu tentang ilmu bela diri sehingga boleh dijadikan kepada satu kerjaya, memperbaiki rohani dan jasmani serta meningkatkan akhlak ahli-ahli persatuan.
Hal ini jelas
membuktikan bahawa kewujudan persatuan silat turut memainkan peranan penting
dalam kelestarian dan kesinambungan budaya bangsa. Pada masa kini, peranannya
mungkin sudah agak berubah. Seni silat dijadikan sebagai benteng
pertahanan negara hanya menjadi warisan dan sekadar mengisi ruang dalam
acara-acara tertentu. Bermula dari acara rasmi istana seperti
upacara pertabalan, majlis menyambut pembesar negara sehinggalah ke acara rutin
seperti majlis perasmian, majlis perkahwinan dan pertunjukan kebudayaan.
Setiap komponen
busana silat yang dipakai mempunyai maksud tersendiri. Keris yang tersisip rapi di pinggang melambangkan kedaulatan dan kebesaran
raja-raja Melayu dan turut berperanan sebagai senjata pendek yang digunakan
untuk mempertahankan diri serta menewaskan musuh. Keris Taming Sari dan Keris
Sempena Riau merupakan keris yang
menjadi legenda zaman kegemilangan kesutanan Melayu terdahulu.
Silat dan busana
Melayu merupakan warisan bangsa yang tidak boleh dipisahkan kerana kedua-duanya
mempunyai ciri yang sangat istimewa. Tanpa salah satu warisan tersebut, maka
hilanglah seni dan identiti masyarakat Melayu. Kesimpulannya, masyarakat diseru
supaya menghargai dan menyemai sikap cintakan warisan budaya tradisi kita
berbanding memartabatkan budaya luar. Lebih banyak lagi program yang harus
dilaksanakan bagi mengekalkan khazanah budaya peribumi ini supaya tak lapuk dek
hujan, tak lekang dek panas.
Ulasan
Catat Ulasan