DATUK DR. ZURINAH HASSAN

 DATUK DR. ZURINAH HASSAN : SASTERAWAN NEGARA WANITA PERTAMA

 
Zurinah Hassan merupakan sasterawan wanita pertama yang dianugerahi gelaran Sasterawan Negara. Selain itu, beliau menerima SEA Write Award pada 2004 dan Hadiah Puisi Sunthorn Phu (Hadiah Puisi – Negara ASEAN) pada 2013. Zurinah Hassan dilahirkan pada 13 Jun 1949 di Alor Setar, Kedah. Beliau mendapat pendidikan awalnya di Sekolah Melayu Tikam Batu, Sekolah Inggeris Sungai Layar, Sekolah Convent Sungai Petani dan Sekolah Sultanah Asma Alor Setar, sebelum melanjutkan pelajaran di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. 

Beliau memperoleh ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) daripada Universiti Sains Malaysia, Sarjana Sastera daripada Universiti Putra Malaysia, dan PhD daripada Universiti Malaya pada tahun 2008. Zurinah menulis dalam pelbagai genre, iaitu kumpulan puisi, kumpulan cerpen, novel, kajian sastera dan memoir. Beliau banyak memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan dan Hadiah Cerpen Islam Jabatan Perdana Menteri, dalam bidang puisi dan cerpen.

Mula dikenali dengan sajak "Sesayup Jalan" yang dihasilkan pada 1974, Zurinah, 67,  mengembangkan bakatnya dengan menulis cerpen, novel dan puisi sehingga terhasilnya kumpulan puisi "Menghadap ke Pelabuhan/Facing the Harbour", 2010 terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia.  Beliau juga menghasilkan Memoir Zurinah Hassan: Menjejak Puisi pada 2003, dan antara hasil karya ilmiah beliau ialah mengenai Sasterawan Negara Usman Awang (1990). Beliau juga menghasilkan sebanyak 19 buku antologi sajak, puisi, kajian sastera, autobiografi, memoir, antologi cerpen dan novel sepanjang bergiat aktif dalam bidang penulisan sejak 1963. Beberapa karya puisi dan sajak beliau juga diterjemahkan ke dalam bahasa Jepun, Perancis, Sepanyol dan Rusia.


 Majlis Penganugerahan Sastera Negara ke-13





Ulasan