SASTERA, BAHASA DAN BUDAYA SEMAKIN HILANG?

 


Isu yang berkaitan sastera, bahasa dan budaya dilihat semakin membimbangkan disebabkan sikap segelintir pelajar dan penuntut universiti yang tidak berminat dan tiada kecenderungan mendalami sastera, bahasa dan budaya terutama karya tokoh tempatan. Kebanyakan anak muda terutama penuntut universiti, mereka tidak langsung menyatakan minat dalam bidang berkenaan berdasarkan hasil maklumbalas yang dilakukan. 

Isu ini lebih menggusarkan apabila ketiadaan minat dan kecenderungan dalam kalangan orang muda apatah lagi kepada karya penting dari tokoh tempatan seperti (Datuk Dr) Anwar Ridhwan, (Datuk) Rahman Shaari mahupun (Datuk Seri) A Samad Said.   Melaui tokoh-tokoh ini mereka membicarakan soal hijau (alam sekitar), soal kemiskinan-rasa lara soal perjuangan dan gerakan kebangsaan, penindasan serta hilangnya demokrasi yang mana semuanya dicitra dan digubah diungkapkan dengan bahasa yang terindah mungkin. 

Generasi baru dikhuatiri tidak merasai kelazatan (keindahan) karya bahasa, budaya dan ilmu karya tempatan. Ini adalah satu kerugian, maka perlu diperbanyakkan lagi sesi wacana membicarakan mengenai karya tokoh ilmuan, sasterawan dan budayawan tempatan. Alternatif seperti mengangkat karya tempatan dalam wacana di sekolah dan institusi pengajian tinggi boleh dilakukan bagi meningkatkan minat dalam kalangan generasi muda.  Dalam hal ini, 'karamah insaniah' perlu ditekankan dalam pendidikan bagi mewujudkan nilai manusiawi yang tidak mampu diangkat dalam kerangka teknologi dan digitalisasi.

Oleh itu, amat penting bahasa dan budaya serta seni ini diangkat bagi memartabatkan bangsa walaupun ada pandangan serong menyatakan bahawa seni dan budaya tidak relevan. Pandangan itu dianggap jumud kerana usaha mengangkat martabat bangsa itu bukan hanya terikat kepada isu ekonomi rakyat yang masih diakui sebagai perkara asas dan fundamental.  Namun, apabila kita bicara soal karamah insaniah tentu keyakinan terletak kepada nilai, adab, akhlak yang diterjemahkan melalui budaya dan seni.

 


Ulasan